PETALING JAYA: Malaysia berkongsi kejayaan bagaimana ASEAN kini menjadi rantau paling aman dan ekonomi paling menyerlah di dunia kerana hubungan baik antara negara ahli sehinggakan segala keputusan diambil secara konsensus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu adalah hasil sifat kebersamaan setiap kepimpinan negara ahli dalam memastikan rantau ASEAN kekal aman, sekali gus menyerlahkan potensi ekonominya.
Katanya, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia sentiasa mengambil pendekatan kebersamaan antara seluruh negara ahli dalam mencapai sesuatu keputusan.
“Lihat (pergolakan) Myanmar, kita harus mencari jalan penyelesaian, apabila saya memutuskan untuk Bangkok, Thailand bertemu pemimpin junta dan pembangkang, saya merujuk kepada semua pemimpin ASEAN.
“Apabila berlakunya gempa bumi buruk, mereka perlukan gencatan senjata segera supaya bantuan kemanusiaan dapat disalurkan. Tanpa berkecuali, semua negara ahli Singapura, Filipina, Brunei, Indonesia, Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand semua berkata sila teruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada syarahan umum di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO) bertajuk ‘ASEAN in a Multipolar World: Perspectives from Malaysia’.
Pada majlis sama, Anwar diberikan ijazah doktor kehormat daripada MGIMO sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan sumbangannya di pentas global.
Perdana Menteri berkata, beliau juga tidak bertindak bersendirian dan sentiasa memaklumkan sebarang perkembangan atau kejayaan diperoleh hasil rundingan dilaksanakan.
“Ini bukan kejayaan Malaysia bersendirian sebaliknya kepercayaan, persahabatan dan keterhubungan antara negara ahli ASEAN,” katanya.
Sementara itu, dalam isu tarif Amerika Syarikat (AS), Anwar berkata, setiap ahli ASEAN mengadakan rundingan secara bilateral dengan AS bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Rantau ini bukan kecil, jika kami dilihat sebagai sebuah blok. Jadi dalam isu ini, kami melaksanakan rundingan secara bilateral dan mewakili ASEAN,” katanya. – UTUSAN