PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima Darjah Kemerdekaan, iaitu anugerah tertinggi awam daripada Kosovo sebagai pengiktirafan terhadap sokongan berterusan Malaysia terhadap kedaulatan dan pembangunan negara itu.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden Kosovo, Vjosa Osmani Sadriu dalam satu majlis rasmi sempena lawatan rasminya ke Malaysia yang berlangsung di Bangunan Perdana Putra, di sini.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Darjah Kemerdekaan merupakan penghormatan tertinggi yang diberikan kepada individu yang telah memainkan peranan penting dalam menyokong kemerdekaan Kosovo.
“Pengurniaan tersebut turut mengiktiraf komitmen berterusan Anwar dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Kosovo,” katanya hari ini.
Antara tokoh antarabangsa yang pernah menerima anugerah sama termasuk Presiden Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Mohammed Bin Zayed Al Nahyan (2014); bekas Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush (2018); bekas Presiden Switzerland, Micheline Calmy-Rey (2022); dan mendiang Anne Marie Lizin, bekas Presiden Senat Belgium (2024).
Dalam pada itu, Vjosa turut akan menganugerahkan Darjah Kemerdekaan secara anumerta kepada bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai mengenang jasa beliau yang menjadi antara pemimpin pertama mengiktiraf kemerdekaan Kosovo pada 30 Oktober 2008.
Vjosa dalam rangka lawatan sulung ke negara ini sehingga Ahad, sekali gus terus mengukuhkan hubungan bilateral antara kedua-dua negara.
Malaysia telah mengiktiraf Kosovo secara rasmi pada 30 Oktober 2008 dan merupakan antara negara di Asia pertama mengambil pendekatan tersebut.
Hubungan diplomatik rasmi seterusnya telah ditubuhkan pada 18 Mac 2021.
Pada tahun 2024, jumlah dagangan dua hala mencecah RM28.55 juta dengan jumlah eksport Malaysia ke Kosovo mencecah RM25.92 juta, manakala jumlah import daripada Kosovo sebanyak RM2.63 juta.
Eksport utama Malaysia ke Kosovo adalah minyak sawit, produk elektrik dan elektronik serta hasil kilang, manakala import daripada Kosovo terdiri daripada bahan mentah serta batuan separa berharga. – UTUSAN