PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Russia, selama empat hari, bermula esok hingga 16 Mei ini.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, lawatan itu dilakukan bagi memenuhi undangan Presiden Russia, Vladimir Putin.
“Lawatan ini akan merangkumi kunjungan ke Moscow dan Kazan, Tatarstan. Semasa di Moscow, Anwar akan berucap di Moscow State Institute of International Relations University (MGIMO), mengadakan perjumpaan dengan ahli perniagaan Russia dan diaspora Malaysia di Moscow.
“Semasa di Kazan, Anwar akan menyampaikan ucaptama semasa sesi plenari Kazan Forum pada 16 Mei dan menyampaikan ucapan di mesyuarat strategik Vision Group serta mengadakan pertemuan dengan Rais Tatarstan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini. – UTUSAN