GEORGE TOWN: Kompleks (Annex) atau Annex Pasar Air Itam menjadi kompleks makanan pertama di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dinaik taraf dengan sistem Perangkap Minyak Berpusat ketika ini.
Menurut MBPP, projek yang menelan kos sebanyak RM260,245 itu melibatkan pemasangan 35 perangkap minyak atau ‘grease trap’ di setiap gerai yang terdapat di situ.
Katanya, kompleks makanan terbabit turut ditambah baik dengan pembinaan longkang baharu untuk perangkap minyak berpusat itu serta pemasangan 35 sinki keluli tahan karat bagi menggantikan sinki lama.
“Peningkatan pencahayaan iaitu lampu baharu juga akan dipasang bagi memastikan kawasan ini lebih terang dan selamat, terutama pada waktu malam,” katanya di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata, dengan adanya sistem Perangkap Minyak Berpusat, secara teknikalnya, semua sisa basuhan dan baki peralatan pinggan mangkuk berminyak yang dicuci akan melalui proses penapisan sebanyak dua kali.
“Penapisan pertama berlaku di grease trap iaitu selepas sinki basuhan dan yang kedua di ‘central grease trap’.
“Saya telah meninjau kawasan yang terlibat dan mendapati, air yang mengalir ke longkang selepas ditapis di ‘central grease trap’ ini adalah jernih dan tidak mengandungi sisa makanan atau kotoran minyak.
“Saya juga diberitahu bahawa semua perangkap minyak di gerai akan dibersihkan dengan kerap manakala ‘central grease trap’ pula akan dibersihkan secara berkala iaitu sekurang-kurangnya dua bulan sekali,” katanya.
Difahamkan, MBPP ketika ini dalam proses untuk menaik taraf kesemua 31 unit pasar awam, 72 kompleks perniagaan serta 57 tapak penjaja sementara di bawah seliaannya secara berperingkat.
Ia bagi membolehkan penjaja yang terlibat dapat berniaga dengan lebih selesa, bersih dan selamat, manakala pengunjung pula dapat menikmati persekitaran yang lebih teratur serta menyenangkan ketika berada di situ. – UTUSAN