BESUT: Seramai 18 pelajar Kolej Komuniti Besut berjaya menghasilkan animasi digital berkonsepkan bahasa isyarat untuk dijadikan bahan bantuan pembelajaran kanak-kanak istimewa.
Pengarah Kolej Komuniti Besut, Nik Mohd. Kamil Ibrahim berkata, pengadilan empat projek animasi itu dilakukan dengan kerjasama pelajar-pelajar semester akhir Diploma 3D (tiga dimensi) Animasi Teknologi bersama guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Besut.
“Penghasilan projek khas video animasi pembelajaran berbentuk bahasa isyarat ini disumbangkan secara eksklusif sebagai bahan bantu mengajar kepada sekolah yang bekerjasama dengan Kolej Komuniti Besut yang dijadikan sebagai produk perintis dihasilkan oleh pelajar-pelajarnya sendiri.
“Selain itu, video yang dihasilkan itu boleh dijadikan sebagai gantian perubahan cara penyampaian pembelajaran oleh guru-guru dalam bentuk lebih menarik berbanding yang dilakukan secara manual seperti sebelum ini,” katanya pada Majlis Pertunjukan Cipta 8.0 Program Animasi 3D di Kolej Komuniti Besut di sini.
Nik Mohd. Kamil berkata, penggunaan warna dan gerakan video 3D dalam bentuk isyarat dapat menarik minat murid-murid berpendidikan khas untuk belajar seperti mana menonton kartun di televisyen.
Katanya, penghasilan video itu juga selari dengan kehendak dan keperluan industri masa kini oleh pelajar kolej tempatan.
“Semua elemen yang digunakan dalam empat video dihasilkan ini menggunakan bahasa isyarat, yang mana pelajar-pelajar terlibat belajar mengenai bahasa isyarat yang betul dengan bantuan guru sekolah pendidikan khas sebelum diaplikasikan secara 3D,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Pendidikan Khas Besut, Siti Razimah Abdul Rahman berkata, video itu akan memudahkan proses pembelajaran di sekolah terutama untuk murid-murid yang mempunyai masalah pendengaran.
“Saya rasa ini adalah salah satu bahan bantu mengajar yang amat menarik apabila penggunaan watak-watak kartun yang dihasilkan turut menggunakan bahasa isyarat sebagai bahasa pengantar atau berkomunikasi,” katanya. – UTUSAN