Anggota polis ditahan kes 302 KK ditemukan meninggal dunia dalam tahanan

Anggota polis ditahan kes 302 KK ditemukan meninggal dunia dalam tahanan

SEORANG tahanan lelaki yang juga anggota polis IPK Perlis yang ditahan reman atas kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan ditemukan meninggal dunia di Pusat Koreksional Perlis, di sini semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seorang tahanan lelaki yang juga anggota polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis yang ditahan reman atas kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan ditemukan meninggal dunia di Pusat Koreksional Perlis, di sini semalam.

Kematian lelaki berusia 28 tahun itu disahkan pegawai perubatan selepas dia dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini setelah didapati tidak sedarkan diri. 

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, pada pagi kejadian, lelaki itu telah diarahkan menghadiri perbicaraan kes Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dihadapi di Mahkamah Majistret Kangar, namun mangsa enggan untuk dibawa ke sana. 

“Lelaki itu juga telah dilawati setiap satu jam oleh warden bertugas dan didapati hanya duduk diam serta baring di atas tempat tidurnya. Kemudian, sekitar pukul 4.30 petang, warden bertugas yang meronda di sel telah cuba untuk mengejutkan lelaki itu yang disangka sedang tidur dan mendapati dia tidak lagi bergerak.

“Lelaki tersebut seterusnya dibawa ke hospital dengan kadar segera dan disahkan meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Mohsin berkata, hasil siasatan awal mendapati lelaki itu adalah merupakan seorang anggota polis IPK Perlis yang ditahan reman atas kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Katanya, lelaki itu ditahan reman di Pusat Koreksional Perlis sejak 17 Mac 2023 dan sedang menunggu dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kangar.

“Siasatan juga mendapati lelaki itu turut mempunyai rekod psikiatri yang telah dirujuk di beberapa hospital sejak tahun 2017,” katanya. 

Dalam pada itu, Ahmad Mohsin berkata, siasatan awal pegawai penyiasat juga tidak menemukan sebarang unsur jenayah terhadap tahanan lelaki itu yang ditempatkan bersama dua banduan lain sewaktu kejadian. 

Katanya, mayat lelaki itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah bagi menjalani proses bedah siasat pada pukul 8.30 pagi ini.

“Jenazah akan dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Setiu, Terengganu setelah selesai proses bedah siasat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN