BELAJAR bersungguh dan mematuhi disiplin semasa di asrama serta patuh segala nasihat ibu bapa membolehkan anak bekas Leftenan Komander Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) memperoleh 9A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan baru-baru ini.
Awal Rahimi, 18, pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Langkawi, Kedah berkata, pesanan allahyarham bapanya, Rahimi Abd. Rahman yang juga bekas seorang guru sekolah menengah ketika dia belajar di sekolah rendah sebelum ini supaya belajar bersungguh dan kekalkan disiplin diri sehingga ke peringkat yang lebih tinggi masih terngiang dalam ingatannya.
“Selepas bapa meninggal dunia, tanggungjawab ibu seorang seorang pesara TLDM semakin berat menjaga kami lima beradik dengan memberikan kasih sayang dan kebajikan sepenuhnya sehingga memastikan kami semua berjaya dalam pelajaran,” katanya kepada Utusan Pelajar di Kampung Gunung Hilir, Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah.
Awal berkata, ibunya, Noorlida Rahman, 48, seorang pesara berpangkat Leftenan Komander TLDM berulangalik ketika ke MRSM Langkawi dari kampung yang agak jauh untuk bertemunya sebulan sekali dengan menitip perkara yang sama, iaitu belajar bersungguh dan jangan tinggalkan solat.
“Saya tidak berdepan masalah belajar dengan hanya memberikan tumpuan semasa pembelajaran di kelas, berdisiplin dengan mengikut jadual belajar di kelas dan asrama termasuk kelas tambahan, mematuhi segala panduan guru, solat tepat pada waktunya serta hormat-menghormati sesama rakan.
“Kejayaan ini juga diperoleh merupakan berkat saya sebagai anak serta adik beradik lain patuh dengan nasihat ibu bapa dan saling menyayangi sesama ahli keluarga termasuk ibu yang sangat mengambil berat menjaga kebajikan kami,” katanya.
Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, dia meneladani kejayaan abangnya yang berusia 30 tahun merupakan lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sudah menjawat bidang Perakaunan, manakala dituruti adiknya berusia 17 tahun belajar di MRSM Baling dan seorang lagi adik berusia 13 tahun kini belajar di Sekolah Alam Syah, Putrajaya.
Awal yang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor dalam bidang Pediatrik membuat pilihan untuk menyambung pelajaran di pusat pengajian tinggi dalam negara sambil berharap cita-citanya tercapai untuk membalas jasa kedua ibu bapanya.
Sementara itu, Noorlida yang sudah bersara daripada TLDM sejak tujuh lalu berkata, dia terharu dan bersyukur dengan kejayaan yang diperoleh anak keduanya, tetapi rasa pilu kerana tidak dapat diraikan bersama suaminya yang meninggal dunia enam lalu.
“Sebagai ibu tunggal sudah tentulah menjadi tanggungjawab membesarkan anak-anak dengan memberikan segala kasih sayang, kebajikan dan kemudahan pelajaran sehingga mereka berjaya,” katanya.
Ujarnya, kesungguhannya berulang alik melawat Awal di asrama MRSM Langkawi sambil menitip belajar bersungguh akhirnya kesampaian apabila dapat menjejaki kaki dewan utama dan menaiki pentas menggenggam slip keputusan peperiksaan SPM 9A+ yang diperoleh anaknya. – UTUSAN