PUTRAJAYA: Cerapan hilal bagi menentukan permulaan bulan Zulhijjah 1446 Hijrah yang dijalankan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) petang tadi mendapati anak bulan tidak kelihatan.
Cerapan bermula pada pukul 7.20 malam dan berakhir kira-kira pukul 7.35 malam itu diketuai oleh Ketua Penolong Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Muhamad Sujak Muhamad Dasuki.
Proses cerapan menggunakan kriteria
imkanur-rukyah dimana hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu daripada syarat-syarat berikut iaitu ketika matahari terbenam, ketinggian bulan tidak kurang daripada 3 dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada 6.4 darjah.
Penetapan tarikh 1 Zulhijjah akan mengambil kira keputusan cerapan dari 29 lokasi rasmi di seluruh negara serta pengiraan hisab.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini melaporkan, penentuan awal Zulhijah 1446H/2025 akan dilaksanakan bermula dengan cerapan hilal rasmi oleh Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri yang diketuai oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri masing-masing pada petang 27 Mei 2025 bersamaan 29 Zulkaedah 1446H, sepertimana yang ditetapkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataannya pada 17 Mei 2025.
Cerapan hilal Zulhijah 1446H akan dilakukan di 29 lokasi cerapan rasmi di seluruh negara.
Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri akan mengemukakan laporan kenampakan hilal kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas selesai melaksanakan cerapan.
Laporan tersebut seterusnya akan disembah untuk perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebelum pengisytiharan rasmi permulaan Zulhijah dan tarikh Hari Raya Aidiladha diumumkan kepada rakyat.
Menurut takwim Islam yang dikemaskini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tarikh jangkaan Aidiladha tahun ini pada 10 Zulhijjah 1446H bersamaan Sabtu 7 Jun. – UTUSAN