Amyra Rosli teruja menanti kepulangan Amar Baharin di sisi - Utusan Malaysia

Amyra Rosli teruja menanti kepulangan Amar Baharin di sisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Tahniah sayang! Akhirnya awak berjaya tiba di Madinah. Alhamdulillah sangat bangga.”

Demikian luahan pelakon, Amyra Rosli yang teruja apabila suaminya, Amar Baharin selamat tiba di destinasi terakhir, Madinah setelah lebih sebulan melakukan misi kayuhan bersama Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin dalam #JourneyToTanahHaram, semalam.

Menurut Amyra, Amar dan rakan kembaranya itu dapat melakar memori bermakna sepanjang melakukan kayuhan sejauh 8,000 kilometer tersebut.

“Saya harap kembara ini meninggalkan satu memori dan makna yang besar untuk awak serta Qobin.

“Semoga awak dapat pulang sebagai individu yang lebih baik dan tenang serta terus kekal istiqamah, insya-Allah,” katanya dalam Instagram.

Dalam masa sama, pelakon drama Sekam Di Dada itu juga tidak mampu menahan rasa teruja menanti kepulangan suami tercinta di sisi setelah sekian lama berjauhan.

Amyra bagaimanapun sempat menzahirkan ucapan penghargaan kepada orang ramai yang sentiasa
mendoakan keselamatan suaminya dan Qobin sepanjang melaksanakan misi mereka.

“Kepada semua pihak termasuk ahli keluarga, rakan-rakan, media dan sesiapa sahaja yang menyokong serta mendoakan perjalanan mereka, terima kasih kerana semua itu sangat bermakna untuk kami semua.

“Akhirnya misi #journeytoTanahHaram berakhir dengan indah sekali. Sangat bersyukur dan lega.

“Balik segera okey, saya sangat rindu dan tak sabar untuk peluk awak,” katanya.

Semalam, Amar dan Qobin memaklumkan bahawa mereka telah selamat tiba di Madinah sekali gus menamatkan misi kayuhan mereka ke Tanah Suci Makkah.

Difahamkan, mereka tidak dapat meneruskan kayuhan tersebut ke Makkah berikutan jemaah Haji sudah mula berada di Kota Suci tersebut.

Meskipun hasrat untuk menunaikan ibadah umrah mahupun haji tidak kesampaian, Amar menganggap pengembaraannya bersama Qobin selama 33 hari ini suatu pengalaman yang sangat berbaloi.

Pun begitu, kedua-dua mereka dikhabarkan bakal pulang ke tanah air dengan menaiki kapal terbang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN