Amerul Affendi pasang impian buka kebun kopi, terkenang arwah atuk - Utusan Malaysia

Amerul Affendi pasang impian buka kebun kopi, terkenang arwah atuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setelah mengusahakan tanaman dan ternakan, pelakon, Amerul Affendi menyimpan hasrat untuk membuka kebun kopi sendiri di Temerloh, Pahang. 

Jelas Amerul atau Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, 38, dia kini masih di fasa kajian melihat perkembangan perniagaan dan permintaan kopi di pasaran tempatan.

“Kopi moden dan kaedah tradisional sangat berbeza terutama dari segi aroma dan cara pembuatannya. Kopi tradisional lebih ‘kaw’. 

“Saya tidak terfikir nak buka kedai kopi, cuma ada impian untuk membuka kebun kopi sendiri. Kalau ladang, besar sangat pula. 

“Cuma saya sedang perhatikan bagaimana perkembangan industri kopi di Malaysia. Kalau ada permintaan saya tidak kisah untuk buat,” katanya.

Amerul ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media drama eksklusif Tonton Bru, di Bangsar, baru-baru ini. 

Bercerita mengenai kopi, pelakon 6 Jilake itu mengakui minuman itu mempunyai nostalgia mendalam terutama semasa membesar bersama arwah atuk, Mohd Ludin. 

“Saya membesar dengan arwah atuk di Kuala Krau. Atuk tanam pokok kopi dan koko untuk dijual di pasar pagi. Ada juga yang kami simpan sendiri. 

“Kopi banyak mengingatkan saya dengan dia. Sebab pagi-pagi, dia akan sangai biji kopi. Memang semerbak bau itu di rumah kayu kami. Kami pergi petik kopi daripada pokok, semua itu buat saya terimbau kembali.

“Kopi sangat dekat dengan hati saya, arwah pula sudah meninggal lama. Sejak usia saya darjah enam lagi,” ceritanya. 

Dalam perkembangan terkini, Amerul bakal beraksi di sebuah siri drama yang menceritakan tentang perjalanan usahawan kopi bernama Ajan. Ajan dan rakannya Shah serta Hani mahu membuka perniagaan kopi menggunakan van buruk arwah bapa. 

Drama arahan Nik Amir Mustapha kini boleh ditonton mulai 1 Mei. Turut sama menjayakan naskhah itu ialah Siti Hariesa dan Shukri Yahaya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN