Allah gerakkan hati saya bangkitkan isu masjid - ADUN Alor Pongsu - Utusan Malaysia

Allah gerakkan hati saya bangkitkan isu masjid – ADUN Alor Pongsu

NOOR Azman Ghazali (dua dari kanan) bersama jemaah ketika meninjau dari menara berkembar Masjid Jamek Ar-Ridzuan Alor Pongsu di Bagan Serai selepas Jumaat hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali antara individu paling gembira apabila isu pemilikan sebahagian tanah Masjid Ar-Ridzuan, Alor Pongsu di sini sudah hampir selesai.

Ini kerana beliau yang membangkitkan perkara itu semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 16 April lalu.

Menurutnya, dia membangkitkan isu masjid tersebut secara spontan dan gembira apabila ia mendapat perhatian meluas sehingga digerakkan usaha mengumpul dana bagi membeli tanah masjid daripada pemilik bukan Islam.

Katanya, lebih menggembirakan apabila  sumbangan orang ramai sudah mencukupi dan urusan membeli tanah sudah pun bermula.

“Sebenarnya ketika itu ada ADUN lain yang sedang bangkitkan isu bencana. Tiba-tiba terlintas di hati saya untuk membangkitkan isu ini kerana apa yang berlaku di Masjid Ar Ridhuan ini juga adalah satu bencana.

“Allah gerakkan hati saya untuk bangun dan saya terus sebut perkara itu dalam sidang DUN.

“Memang saya ada menerima maklumat daripada jawatankuasa masjid dan jawatankuasa bertindak yang menyuarakan kebimbangan mereka mengenai sebahagian daripada tanah masjid dimiliki bukan Islam, ini mendorong saya mengemukakan isu tersebut kepada Menteri Besar semasa persidangan DUN,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengenai kejayaan mengumpul dana membeli tanah masjid yang kini mencecah kutipan RM2.3 juta, Nor Azman berkata, ia adalah simbol kekuatan umat Islam yang bersatu dalam satu perjuangan.

Menurut beliau, pencapaian itu adalah manifestasi semangat berjemaah yang luar biasa dalam kalangan masyarakat apabila berdepan isu berkaitan institusi agama.

“Alhamdulillah, dalam masa 36 jam, kutipan sudah mencecah RM2.3 juta. Ini melambangkan kekuatan ummah bila berjemaah atas satu tajuk iaitu menyelamatkan Masjid Ar Ridhuan,” katanya.

Noor Azman berkata, isu yang berlaku wajar menjadi pengajaran penting agar sistem pentadbiran, pendaftaran hak milik serta pengurusan tanah wakaf diperbaiki dan diperkemaskan.

“Perkara ini adalah satu pengajaran agar kita sedar pentingnya memperkemaskan sistem pendaftaran tanah wakaf, terutamanya yang dimiliki oleh masjid dan organisasi Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN