KUALA LUMPUR: Penyanyi dan vokalis kumpulan Akim & The Majistret, Akim Ahmad, 34, mengakui dirinya sudah berhenti merokok sejak setahun lalu demi menjaga stamina dan kualiti suara.
Menurut Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, keputusan itu dibuat selepas bapanya disahkan menghidap kanser paru-paru, sekali gus menjadikan titik perubahan besar dalam hidupnya.
“Keputusan nak berhenti merokok dibuat tiga tahun lepas, waktu ayah saya disahkan menghidap kanser paru-paru.
“Jadi, itu salah satu titik perubahan di mana saya dan adik beradik saya, lelaki-lelaki semua membuat keputusan untuk berhenti merokok,” katanya ketika ditemui di Sidang Media Rampas Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Jelas Akim, perubahan gaya hidup sihat itu bukan sahaja membantunya dalam kerjaya seni, malah menjadikan dia lebih selesa dan yakin meluangkan masa bersama keluarga.
“Saya ada anak kecil berusia dua tahun, nak masuk tiga tahun. Dulu masa masih merokok, ada rasa was-was nak pegang anak.
“Jadi saya kena pergi cuci tangan, tukar baju dan jaga semua benda sebelum pegang anak, sebab antibodi bayi masih lemah.
“Tapi sekarang saya lebih tenang dan tak risau nak peluk anak bila-bila masa.
“Saya pun gembira sekarang lagi bertenaga dan tahan lama untuk beraksi dalam persembahan di atas pentas,” katanya.
Dalam pada itu, Akim turut mengakui pada mulanya mengalami kesusahan untuk membuang tabiat buruk itu dari rutin hariannya.
“Waktu awal-awal dulu, susah sangat nak berhenti. Saya selalu berperang dengan diri sendiri dan bertanya pada diri sendiri, perlukah saya berhenti merokok atau macam mana.
Namun, atas nasihat dan pesanan bapanya untuk sentiasa beristighfar, kini dia mampu meninggalkan tabiat buruk itu.
“Tapi Alhamdulillah, ayah selalu pesan untuk beristighfar kalau teringinan nak merokok.
“Jadi saya banyakkan beristighfar dan juga fokus kepada meditasi untuk elak fikir tentang benda itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Akim & The Majistret akan mengadakan konsert Rampas Kuala Lumpur pada 28 Jun depan, bertempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur dengan membawa hampir 25 buah lagu.-UTUSAN