AI pacu transformasi bandar pintar 

AI pacu transformasi bandar pintar 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Digital berusaha untuk mempromosikan penerimagunaan teknologi digital termasuk Kecerdasan Buatan (AI) dan 5G di seluruh negara.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong berkata, penggunaan AI di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur kini memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pemodenan infrastruktur dan perkhidmatan bandar. 

Jelasnya, ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan bandar tetapi juga menyumbang secara langsung kepada peningkatan kualiti hidup warga kota.

“Saya difahamkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini giat melaksanakan integrasi AI dalam pelbagai aspek pengurusan bandar. 

“Dua inisiatif utama yang diketengahkan ialah Inisiatif Kembar Digital (Digital Twin) iaitu satu model maya bandar yang membolehkan simulasi masa nyata digunakan untuk perancangan bandar yang  lebih  efektif  dan  tindak balas kecemasan yang lebih pantas.

“Kedua, Pengurusan Trafik Berkuasa AI. Sistem analitik masa nyata yang digunakan untuk mengoptimumkan aliran trafik dan mengesan insiden, sekaligus membantu mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan jalan raya,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLCCC) di Bukit Jalil, di sini hari ini. 

Tahun lalu, sebanyak 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi AI telah dipasang di sekitar Kuala Lumpur untuk keselamatan dan keselesaan warga kota.

CCTV yang dipasang di jalan raya, kawasan jenayah, taman awam, River of Life dan pasar sekitar ibu negara, mempunyai pandangan 360 darjah dengan jarak 200 meter dan sambungan fiber optik untuk imej berkualiti tinggi.

Dalam usaha memperkukuh ekosistem bandar pintar negara, beliau berkata, pihak kementerian bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia Malaysia (MDEC) dan Digital Nasional Berhad (DNB) akan menganjurkan Smart City Expo Kuala Lumpur (SCEKL 2025) pada 17 hingga 19 September depan. 

“Ekspo ini bakal menjadi platform utama mempamerkan aspirasi dan pencapaian negara dalam pembangunan bandar pintar. 

“Selain itu, DNB turut melaporkan liputan rangkaian 5G kini telah melebihi 82 peratus di seluruh negara, sekali gus menyediakan asas kukuh untuk pelaksanaan penyelesaian AI dalam pelbagai sektor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN