Ahli Parlimen Langkawi cedera ringan terlibat kemalangan di Yan

Ahli Parlimen Langkawi cedera ringan terlibat kemalangan di Yan

KENDERAAN dinaiki Suhaimi Abdullah dan isterinya yang terbabas ke dalam tali air ketika kemalangan di Jalan Sungai Dedap-Yan di Yan, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Suhaimi Abdullah cedera selepas kereta yang dinaikinya bersama isteri terbabit kemalangan di Jalan Sungai Dedap-Yan, di sini pagi tadi.

Kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 10 pagi semasa beliau dalam perjalanan menziarahi seorang kenalannya yang meninggal dunia di pekan Sungai Limau.

Difahamkan, ketika sampai di lokasi kemalangan, sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dikatakan membuat pusingan ‘U’ menyebabkan Suhaimi cuba mengelak sebelum terbabas ke tebing tali air di situ. 

Walaupun keretanya rosak teruk di bahagian hadapan, namun Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah itu hanya mengalami kecederaan kecil di bibir manakala isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Orang ramai yang melalui laluan itu turut memberikan bantuan awal kepada Suhaimi dan isterinya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Bersatu Kedah, Datuk Salleh Saidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. 

Katanya, insiden berlaku ketika Suhaimi dalam perjalanan dari Langkawi ke Yan bagi menziarahi jenazah sahabatnya, Kong Sun di Sungai Limau yang meninggal dunia tiga hari lalu dan akan dikebumikan pagi ini. 

“Beliau selamat dan hanya membuat pemeriksaan sinar-X di Hospital Yan kerana bahagian pinggangnya sakit. Kemalangan berlaku apabila beliau cuba mengelak sebuah motosikal yang tiba-tiba membelok ke kanan secara mengejut di hadapan. Alhamdulillah semua selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN