PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia menzahirkan ucapan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di negara ini.
Seri Paduka bertitah, guru ialah insan hebat yang mencurahkan ilmu mereka tanpa mengharapkan balasan demi membentuk masyarakat cemerlang.
“Tanpa guru tiadalah ilmu, tanpa ilmu gelaplah arah itu. Guru adalah cahaya menerangi jalan kita ke arah masa depan yang lebih cemerlang.
“Terima kasih kepada semua guru atas jasa dan pengorbanan anda, sama ada di bandar mahupun pedalaman, bakti kalian tetap dikenang,” titah baginda menerusi hantaran di platform Facebook.
Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025 kali ke-54 diadakan di Kuching, Sarawak bermula semalam bertemakan ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’. – UTUSAN