PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan rakyat untuk sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan seorang ibu tanpa terikat pada musim mahupun tarikh tertentu sahaja.
Seri Paduka Baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menzahirkan ucapan selamat Hari Ibu kepada semua wanita yang bergelar ibu.
Seri Paduka Baginda turut menitipkan ucapan Selamat Hari Ibu kepada Raja Permaisuri Agong.
“Sebagaimana dititikberatkan dalam al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW bahawa ibu adalah insan yang mulia, diperintahkan Allah untuk berbuat baik kepadanya. Begitu juga berbakti kepada ibu kerana syurga berada di bawah kedua kakinya,” titah Seri Paduka menerusi akaun Facebook rasmi.
Sultan Ibrahim bertitah, Seri Paduka Baginda sentiasa bersyukur kepada Allah SWT kerana dikurniakan seorang isteri yang amat penyayang kepada anak-anak.
“Begitu besar pengorbanan serta kasih sayang dicurahkan Raja Zarith dalam membesarkan mereka.
“Semoga Allah SWT sentiasa merahmati Almarhumah bonda, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah dan Almarhumah Raja Perempuan Muzwin. Al-Fatihah,” titah Seri Paduka. – UTUSAN