SEPANG: Isteri kepada pelakon dan pelawak, Along Cham iaitu Afreena Suhaimi menafikan cuba melengahkan prosiding lafaz rujuk dalam perkahwinan susulan enggan mengakui terjadinya lafaz rujuk pada Jun tahun lalu.
Menurut Afreena, isu lafaz rujuk tidak pernah dibangkitkan sebelum ini menyebabkan dia menyerahkan segala proses penilaian kepada pihak mahkamah untuk membuat keputusan.
“Berkenaan rujuk saya tak nak komen kerana agak privasi dan bimbang akan disalah tafsir.
“Tidak kiralah rujuk lisan atau batin, biar mahkamah yang membuat keputusan.
“Pada prosiding sebelum ini pun saya tak pernah cakap apa-apa fasal rujuk batin atau lisan. Semuanya keluar daripada mulut plaintif (Along),”’katanya.
Afreena ditemui Utusan Malaysia di Mahkamah Rendah Syariah Sepang bagi tuntutan pengesahan lafaz cerai taklik pada Khamis.
Sementara itu, turut menyokong kenyataan Afreena ialah peguam syarie, Mohamad Iezwan Ielias mengatakan penangguhan terpaksa dibuat memandangkan lafaz rujuk merupakan fakta baharu dalam prosiding.
“Sebelum ini Along tidak pernah menyatakan wujudnya rujuk lisan. Malah dalam dokumen kes pun tidak dinyatakan mengenai perkara itu.
“Tapi bila mereka kemukakan fakta baharu (wujud lafaz rujuk secara lisan) ini menyebabkan kes menjadi panjang.
“Jadi tindakan seterusnya adalah kami akan buat secara bertulis supaya mahkamah ada rekod dan proses hari ini hanya berjalan sebahagian memandangkan terdapat banyak kes di mahkamah termasuk kekangan masa,” katanya.
Terdahulu, Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi mengarahkan sebutan semula kes lafaz rujuk dalam perlahwinan berlangsung pada 1 dan 3 Julai ini.
Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu yang juga perkahwinan keduanya selepas bercerai dengan bekas isteri pertama, Zila Saeron pada September 2016.
Hasil perkongsian hidup daripada perkahwinan itu, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah penjagaannya. – UTUSAN