IPOH: “Arwah pendiam, tidak banyak cakap, tapi dia bukan sombong. Dia suka senyum.”
Itulah kata-kata penuh rindu Mohamad Hazizi Abd Rahim, 35, mengenai abangnya Allahyarham Sarjan Mohd. Roslan Abd. Rahim, anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas di Jalan Sungai Manik-Jalan Sungai Lampam di Teluk Intan, semalam.
Katanya, berita duka itu dimaklumkan oleh isteri Allahyarham, Nur Aini Samiun, 44, pada pagi kejadian.
Menurutnya, ketika ahli keluarga masih dalam perjalanan ke Hospital Teluk Intan mereka menerima perkhabaran bahawa Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir.
Lebih memilukan, pemergian Allahyarham berlaku hanya lima bulan selepas bapa mereka meninggal dunia pada Januari lalu.
“Urusan berkaitan pemergian ayah juga masih belum selesai sepenuhnya.
“Abang juga banyak jaga ayah masa dirawat di Hospital Temerloh dulu. Sekarang abang pula pergi, dalam masa lima bulan saja,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Taman Meru di sini.
Menurutnya, kali terakhir mereka sekeluarga bertemu dengan Allahyarham adalah pada raya ketiga baru-baru ini.
“Kami semua lima beradik sempat berkumpul di Pahang dan menghabiskan masa bersama selama dua hari.
“Tak sangka itu kali terakhir kami jumpa. Dia nampak ceria, senyum macam biasa,” katanya.
Allahyarham merupakan anak ketiga daripada lima beradik, dan anak lelaki sulung dalam keluarga.
“Kini, tinggal saya seorang lelaki dan adik-beradik perempuan yang lain,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Hazizi berkata, buat masa ini, anak Allahyarham akan tinggal bersama datuk dan nenek mereka di Ipoh.
“Mereka bersekolah di sini dan mereka sudah biasa dengan ahli keluarga sebelah ibu mereka di sini,” katanya. – UTUSAN