PUTRAJAYA: Sebanyak 71 buah sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor diberi kebenaran untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada 26 Mei hingga 28 Mei ini bersempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, cadangan kebenaran pelaksanaan PdPR bagi sekolah-sekolah terlibat mengambil kira penutupan jalan dan kawalan keselamatan sepanjang penganjuran sidang kemuncak itu.
Katanya, langkah itu bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid di sekolah-sekolah yang terlibat tidak terjejas.
“Ibu bapa, penjaga, murid, guru dan warga sekolah yang terlibat dinasihatkan untuk merujuk saluran rasmi sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pelaksanaan PdPR.
“KPM yakin pengalaman melaksanakan PdPR sewaktu pandemik dan semasa dalam situasi bencana dapat memastikan kelangsungan proses pembelajaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, pelaksanaan langkah ini dapat menjaga aspek kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah terpelihara. – UTUSAN