DUNGUN: Seramai 63 wanita yang menerima rawatan kesuburan Intrauterine Insemination (IUI) menerusi program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI), hamil setakat Mac lalu.
Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Rosmonaliza Abdul Ghani berkata, program yang dilaksanakan sejak 1 Januari lalu itu memberi manfaat kepada 370 pasangan sehingga Mac lepas.
“Setakat ini sebanyak 17 peratus atau 63 pasangan yang terpilih menyertai program BuAI telah berjaya hamil selepas menjalani rawatan IUI. Menerusi program ini, pasangan yang layak dibiayai untuk menjalani maksimum dua kitaran rawatan kesuburan IUI di klinik subfertiliti LPPKN iaitu di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak,” katanya pada Karnival Sentuhan Kasih Ibu Sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Terengganu 2025, di sini, hari ini.
Menurutnya, pada tahun ini kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6 juta untuk pelaksanaan program BuAI secara percuma kepada 1,300 pasangan yang belum dikurniakan cahaya mata.
“Antara syarat yang ditetapkan untuk menyertai program itu ialah pasangan berpendapatan RM10,000 ke bawah, mempunyai sijil perkahwinan yang sah dan isteri berusia 36 tahun ke bawah.
“Pasangan yang telah berkahwin selama enam bulan ke atas, namun belum menunjukkan tanda-tanda hamil boleh terus memohon untuk program BuAI, tidak perlu menunggu lama,” katanya. – UTUSAN