PUTRAJAYA: Sebanyak 61 peratus daripada 192,857 penyalah guna dan penagih dadah di negara ini adalah dalam kalangan orang muda sekali gus meletakkan isu penyalahgunaan dadah kini berada pada tahap yang sangat membimbangkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu ini menjadi ancaman besar kepada struktur sosial, keselamatan awam, serta kestabilan ekonomi negara.
Menurut beliau, lebih 96 peratus dalam kumpulan penagih dan penyalah guna dadah ini adalah lelaki, yang didorong oleh pengaruh rakan sebaya dan rasa ingin mencuba.
Dalam menangani isu ini, kata beliau, kerajaan melancarkan Pelan Komunikasi Antidadah 2025–2027 yang bersifat menyeluruh dan bersasar.
“Pelan ini menumpukan kepada perubahan sikap, peningkatan kesedaran, dan penyampaian maklumat yang tepat.
“Ini melalui sinergi pelbagai agensi – ke arah gerakan nasional melawan dadah secara kolektif,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Membenteras Gejala Dadah berkata, Mesyuarat juga mengambil maklum dapatan Pusat Racun Negara mengenai kemunculan vape berperisa ‘mushroom’.
Katanya, vape ini mengandungi sebatian psikoaktif seperti psilocybin dan psilocin, yang boleh menyebabkan halusinasi dan gangguan mental.
“Bahan ini berisiko tinggi kepada kanak-kanak dan belia dan memerlukan tindakan penguatkuasaan segera dan lebih agresif.
“Bagi meningkatkan kecekapan pemantauan pula, Kementerian Dalam Negeri akan memanfaatkan Crime Data Network Analysis untuk mengenal pasti pola jenayah berkaitan dadah secara lebih terperinci, sekaligus membantu perumusan strategi yang lebih bersasar dan efektif,” katanya.
Dalam aspek rawatan dan pemulihan, katanya, Pusat Saringan dan Penilaian Dadah (DAC) oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sedang dilaksanakan dengan pendekatan Single Point Entry.
Katanya, pendekatan ini mempercepatkan proses saringan dan intervensi bagi Orang Kena Tahan (OKT), tanpa perlu menunggu keputusan patologi dan setakat ini sejumlah 261 OKT telah menjalani penilaian di DAC Kuala Muda, Kedah.
“Kerajaan kekal komited dan tidak akan berkompromi dalam pelaksanaan Dasar Dadah Negara (DDN) yang merangkumi pencegahan, rawatan, pemulihan dan penguatkuasaan –dari peringkat Persekutuan hingga ke komuniti akar umbi.
“Saya ingin menegaskan bahawa perjuangan membanteras dadah adalah tanggungjawab bersama.
“Ia bukan sahaja memerlukan kesungguhan kerajaan, tetapi juga penglibatan aktif rakyat, pertubuhan masyarakat sivil dan semua lapisan komuniti,” katanya. – UTUSAN