BUTTERWORTH: Sebanyak 38 kontena mengandungi sisa elektrik dan eletronik serta skrap plastik yang tiba di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini telah diarah untuk dihantar kembali ke negara asal.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Norazizi Adinan berkata, arahan itu diberi susulan satu pemeriksaan yang dijalankan terhadap kontena-kontena itu bersama beberapa agensi di terminal berkenaan.
Katanya, selain JAS, turut-serta dalam pemeriksaan itu ialah Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) negeri, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), SWCorp, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB).
Beliau berkata, dalam pemeriksaan itu, sebanyak 39 kontena yang memasuki NBCT telah diikrar sebagai barangan dagangan berisi sisa elektrik dan eletronik serta skrap plastik.
“Hasil pemeriksaan lanjut bagaimanapun mendapati, 38 daripada 39 kontena itu membawa bersama campuran sisa plastik tercemar yang mengandungi sampah. Justeru, kesemua kontena terbabit telah ditahan manakala sebuah kontena yang dalam baik diserahkan kepada agensi berkenaan untuk tindakan susulan.
“Tindakan Notis Arahan turut diambil di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya di sini, hari ini.
Tambah Norazizi, secara keseluruhannya, JAS Pulau Pinang telah mengarahkan sebanyak 65 kontena untuk dihantar pulang ke negara asal tahun ini dan bagi bulan ini sahaja, jumlah penghantaran pulang itu boleh dianggap sebagai rekod terbesar bagi jabatan itu.
“Kerjasama semua pihak adalah amat penting bagi memastikan pengimportan kontena sisa plastik ke Malaysia adalah terkawal, sah mengikut keperluan perundangan sedia ada serta tidak menjadi punca kepada isu pencemaran yang lebih serius.
“Dalam hal ini, kita sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi memperkasakan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan Malaysia tidak menjadi negara bergelar ‘tong sampah dunia’,” katanya. – UTUSAN