300 peniaga pasar di Kamunting desak kembalikan pengurusan lama 

300 peniaga pasar di Kamunting desak kembalikan pengurusan lama 

KUMPULAN peniaga membantah pengurusan baharu pasar harian dan pasar malam Kamunting di Taiping hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Lebih 300 peniaga Pasar Harian dan Pasar Malam Kamunting di sini mendesak Majlis Perbandaran Taiping (MPT) campur tangan berhubung pertukaran pengurusan baharu tapak perniagaan itu yang didakwa menindas dan menyusahkan mereka.

Wakil peniaga, Fauzi Muhammad Yusof, 59, menyifatkan tindakan pengurusan baharu yang mensyaratkan peniaga menjalani temu duga, meskipun sudah lama berniaga di situ sebagai tidak menghormati mereka.

“Kami mahu pengurusan lama kembali mengurus pasar berkenaan selepas pengurusan baharu dilihat mengenakan pelbagai syarat tidak wajar termasuk mewajibkan temu duga semula terhadap peniaga yang telah lama berniaga, selain pelbagai peraturan baharu yang menyusahkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Isu pengurusan timbul selepas Kelab Kebajikan Pesakit Buah Pinggang Perak Utara mengambil alih menggantikan pengurusan lama, Kopasar selepas 16 tahun.

Kelab itu mula menguruskan pasar tersebut pada 1 April lalu selepas menang tender terbuka yang dikendalikan MPT.

Sementara itu, seorang peniaga, Samsiah Abdul Hamid, 70, berkata, pengasingan lot berdasarkan kategori barangan menyukarkan urusan perniagaan dan mengganggu susun atur sedia ada.

“Dulu kami hanya berniaga guna khemah sendiri. Peniaga di sini sebahagian besar sudah berusia, jadi sukar membawa barang jualan setiap hari kerana tiada kenderaan sesuai, apatah lagi apabila barang tidak dibenarkan ditinggalkan di tapak,” katanya.

Muniandy, 73, turut membantah tindakan menukar lot tapak secara tiba-tiba tanpa penjelasan munasabah dengan mendakwa, pengurusan lama lebih memahami keperluan mereka.

Sementara itu, Kelab Kebajikan Pesakit Buah Pinggang Perak Utara menafikan semua dakwaan itu.

Pengerusinya, Saiful Hizam Abu Zarim berkata, terdapat sebahagian peniaga enggan mematuhi syarat baharu seperti memiliki pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), lesen MPT dan suntikan typhoid yang diwajibkan demi kepentingan kesihatan awam.

“Kami hanya ingin menstruktur semula pengurusan tapak agar lebih tersusun dan mematuhi peraturan semasa, bukannya menindas mana-mana pihak. Semua peniaga perlu melalui proses yang sama tanpa sebarang keistimewaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya