PUTRAJAYA: Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya meneruskan tradisinya buat kali ketiga tahun ini apabila menghadiahkan 28 kek kepada semua sekolah di sini sebagai tanda menghargai warga pendidik sempena Hari Guru hari ini.
Pengerusinya, Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya berkata, sumbangan kek tahun ini turut diberikan kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP).
“Sumbangan ini adalah bagi meraikan jasa bakti guru-guru di seluruh Putrajaya dalam mendidik murid-murid di sini.
“Semoga pemberian kecil ini akan meningkatkan semangat guru untuk terus mendidik anak bangsa untuk menjadi insan berguna kepada bangsa, agama dan negara,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan kek sempena Hari Guru di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Hisamudin memaklumkan, ketika ini terdapat kira-kira 1,600 pelajar asnaf di Putrajaya yang memerlukan pelbagai bantuan.
Jelasnya lagi, pihaknya sebelum ini turut menggerakan beberapa bantuan dan sumbangan lain termasuk agihan alat tulis kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bantuan awal persekolahan dan kelas teknik menjawab SPM.
Sebelum ini, Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya dengan kerjasama beberapa penaja termasuk korporat dan persendirian turut mengagihkan sumbangan Aidilfitri melibatkan seramai 320 murid di 16 buah sekolah rendah di sini berupa kad prabayar AEONBIG dan baucer GrabFood bernilai RM100. – UTUSAN