KEMAMAN: Sebanyak 2,361 ekor haiwan liar menjadi mangsa roadkill atau terbunuh di jalan raya dalam tempoh lima tahun sejak 2020 hingga Mei tahun ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, daripada jumlah itu, lima negeri yang mencatatkan jumlah tertinggi ialah di Pahang iaitu 765 kes, diikuti Perak (478 kes), Kelantan (224 kes), Terengganu (201 kes) dan Negeri Sembilan 187 kes.
“Daripada jumlah itu, sebanyak lapan ekor gajah mati dirempuh kenderaan dalam tempoh lima tahun dan sebanyak tiga ekor kematian gajah dicatatkan pada tahun ini.
“Jumlah kematian gajah pada tahun ini agak tinggi kerana baru sahaja lima bulan pertama, sudah melibatkan tiga ekor kematian gajah dengan kematian terbaharu semalam seperti yang dilaporkan media,” katanya selepas menyertai Operasi Penguatkuasaan Kenderaan Bermotor di Jalan Kuantan – Kemaman di sini, hari ini.
Semalam, tular dalam laman sosial video memaparkan seekor ibu gajah yang setia menunggu anaknya yang dirempuh sebuah lori di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik di Perak.
Nik Nazmi berkata, pelbagai usaha dilakukan kerajaan dengan kerjasama kerajaan negeri bagi memastikan kadar kematian haiwan yang terlibat dalam kemalangan dapat dikurangkan.
“Kerajaan persekutuan meningkatkan peruntukan untuk Dana Pemindahan Fiskal Ekologi sebanyak RM250 juta pada tahun ini yang mana peruntukan itu disalurkan kepada kerajaan negeri untuk menambah bilangan kawasan hutan simpan atau hutan perlindungan dalam usaha mengekalkan habitat hidupan liar.
“Kita turut mewujudkan lintasan hidupan liar dan di kawasan yang terdapat gajah pula kita menambah lagi bilangan papan tanda Diod Pemancar Cahaya (LED) sebagai amaran kepada pengguna jalan raya sekiranya terdapat kehadiran gajah.
“Selain itu, kita akan menambah bilangan santuari gajah di seluruh negara dengan kerjasama kerajaan negeri yang mana ketika ini terdapat beberapa santuari iaitu di Terengganu, Perak dan Pahang serta sebuah santuari sedang dalam pembinaan di Johor,” katanya.
Ditanya mengenai cuaca panas yang tidak menentu, Nik Nazmi berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian dan jabatan berkaitan termasuk Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pendidikan, Kementerian Perladangan dan Komoditi untuk menyelaraskan tindakan yang perlu diambil sekiranya cuaca panas berterusan. – UTUSAN