20 cerun dikenal pasti sangat berisiko tinggi

20 cerun dikenal pasti sangat berisiko tinggi

ALEXANDER Nanta Linggi merasmikan Simposium Cerun Negara 2025 di Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti sebanyak 20 cerun sangat berisiko tinggi yang memerlukan kerja-kerja pencegahan dan pembaikan segera membabitkan kos kira-kira RM36 juta.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebahagian besar cerun berisiko tinggi itu dikesan berada di sepanjang Lebuh Raya Timur Barat serta beberapa lokasi lain di seluruh negara.

“(Cerun) yang berisiko tinggi ada 20 lokasi yang kita kategorikan sebagai sangat mendesak dengan memerlukan (kos) lebih RM36 juta.

“Tapi kita akan pastikan cerun berisiko tinggi itu tidak akan memberi kesan buruk kepada nyawa dan harta benda (jadi) kita akan selesaikan masalah tersebut,” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Cerun Negara (SCN) 2025 di sini hari ini.

Pada majlis itu, Alexander turut melancarkan Pelan Induk Cerun Negara (PICN): Pelan Tindakan 2025-2030 yang menjadi dokumen rujukan utama dalam mengukuhkan tadbir urus serta pelaksanaan pengurusan cerun secara menyeluruh di Malaysia.

Terdahulu menerusi ucapannya, Alexander berkata, pada tahun ini, KKR menerima peruntukan sebanyak RM251 juta di bawah Program Pencegahan dan Pembaikan Cerun Seluruh Malaysia.

Jelasnya, setakat ini, sebanyak 166 lokasi pembaikan cerun telah berjaya disiapkan, manakala sejumlah RM21.74 juta telah dibelanjakan untuk menaik taraf sistem amaran awal tanah runtuh, pengumpulan data, pengemaskinian peta risiko cerun serta kerja penyelenggaraan.

Dalam pada itu, beliau berkata, dengan adanya PICN, semua pihak secara asasnya memikul tanggungjawab bersama dalam usaha mengurangkan risiko bencana, khususnya tanah runtuh, memperkukuh tadbir urus pengurusan cerun negara secara mampan serta memastikan keselamatan rakyat dan infrastruktur negara terus terpelihara.

“Melalui Pelan Tindakan 2025–2030 ini, pelbagai inisiatif berimpak tinggi telah dirangka secara teliti bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara serta memperkukuh tadbir urus risiko bencana, khususnya yang berkaitan dengan kejadian tanah runtuh.

“Justeru, Pelan Induk Cerun Negara yang telah dihasilkan ini adalah kompas kita dalam menghadapi cabaran risiko cerun. Ia bukan sekadar garis panduan teknikal, tetapi juga manifestasi komitmen kita untuk melindungi aset negara yang bernilai, nyawa setiap
warganegara, dan kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya.

Tambah beliau, sebagai inisiatif proaktif, JKR telah melaksanakan projek Pembekalan dan Pemasangan Peralatan Pemantauan Masa Nyata bagi Cerun di Jalan Persekutuan dan Pembangunan Sistem Amaran
Awal Tanah Runtuh.

Menurut Alexander, di bawah projek tersebut, pelbagai peralatan pemantauan berteknologi tinggi digunakan seperti Inclinometer, Tilt sensor, Soil moisture sensor dan Piezometer.

“Sistem pemantauan cerun berasaskan Internet of Things (IoT) ini, membolehkan pengumpulan data secara real-time dan data yang dicerap akan dihantar terus ke pusat kawalan bagi membolehkan tindakan awal diambil sekiranya terdapat tanda-tanda ketidakstabilan cerun, sekaligus meningkatkan kecekapan dan kecekapan pengurusan risiko kejadian tanah runtuh.

“Selain itu, penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dan Analisis Data Besar (Big Data) membolehkan kita mengenal pasti pola pergerakan cerun dan meramalkan potensi kegagalan struktur dengan lebih tepat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN