PETALING JAYA : Siasatan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua penjawat awam termasuk seorang pengarah bergelar Datuk mendapati mereka menerima komisyen sekitar enam ke 11 peratus bagi setiap projek diluluskan.
Sumber berkata, mereka dipercayai telah memonopoli setiap projek membabitkan pembangunan dan selenggara di Kuala Lumpur dengan memberi tender kepada individu tertentu dengan bayaran komisen ditetapkan.
Kata sumber itu, individu bergelar Datuk berkenaan bukan sahaja mengawal tender tersebut di ibu negara sebaliknya di beberapa negeri lain termasuk di Selangor.
“Pengarah terbabit disyaki berperanan untuk meluluskan setiap projek kepada syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengannya. Manakala jurutera terbabit pula akan menjadi perunding bagi membincangkan sebut harga terhadap syarikat dilantik,” katanya di sini.
Kata sumber itu, SPRM turut menahan pasangan suami isteri bersama bapanya seorang pemilik syarikat yang bergelar Datuk dan seorang kontraktor kerana memonopoli setiap projek di jabatan itu.
Beliau berkata, kesemua mereka disyakin telah membayar rasuah kepada penjawat awam yang ditahan bagi mendapatkan projek itu.
“Siasatan juga mendapati bagi tempoh tahun ini sahaja, kurang 10 projek sudah diluluskan oleh pengarah terbabit terhadap syarikat itu.
“Mereka ini telah mengawal projek selenggara dengan hanya meluluskan projek kepada syarikat yang memberi komisyen ditetapkan,” jelasnya.
Media semalam melaporkan enam individu termasuk dua penjawat awam berjawatan pengarah bergelar Datuk serta seorang jurutera sebuah jabatan di ibu negara ditahan SPRM.
Mereka ditahan kerana menerima rasuah dengan nilai ratusan ribu ringgit membabitkan tawaran kerja kontrak pembangunan dari tahun 2021 hingga kini.
Menerusi Op Kepala dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM di 10 buah premis di sekitar Lembah Klang dan Johor kelmari, mereka menyita dua unit kenderaan jenis Toyota Hilux, wang tunai kira-kira RM165,000 selain membekukan 95 akaun perbankan yang terdiri daripada akaun individu dan akaun syarikat melibatkan jumlah kira-kira RM6 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.