BATU PAHAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri ini mematahkan cubaan dua lelaki menyeludup keluar 300 kilogram dadah dipercayai methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM10 juta di perairan Sungai Ayam, di sini.
Timbalan Pengarah Operasinya, Kapten (Maritim) Kama Azri Kamil berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 1 pagi, 16 Mei lalu berkaitan pergerakan mencurigakan sebuah bot asing di kawasan terbabit dan segera mengatur gerak bot peronda ke lokasi dilaporkan, iaitu 0.8 batu nautika dari Zon Maritm Batu Pahat.
“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, dua suspek yang berada di dalam bot gentian kaca telah memecut laju ke kawasan cetek sebelum terjun untuk melarikan diri ke arah hutan paya bakau.
“Hasil pemeriksaan mendapati 12 guni berwarna putih dan kuning mengandungi bungkusan plastik berisi serbuk kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam sidang akhbar di Zon Maritim Batu Pahat, di sini hari ini.
Menurutnya, setiap guni dianggarkan seberat 25 kilogram dan dadah yang dirampas boleh menampung kegunaan hampir sejuta penagih, manakala kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – UTUSAN