TELUK INTAN: Seramai 15 individu termasuk pemilik syarikat lori muatan batu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam, di sini Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, rakaman percakapan pemilik syarikat itu dibuat semalam selepas individu berkenaan tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
“Setakat ini seramai 15 individu membabitkan anggota polis dan orang awam telah direkod keterangan. Fokus utama kita sekarang ialah kepada mereka yang benar-benar berada di lokasi dan melihat kejadian berlaku.
“Ini kerana konvoi tersebut melibatkan tujuh kenderaan dan tidak semua berada dalam jarak yang sesuai untuk menyaksikan insiden dengan jelas,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau memberitahu, siasatan di peringkat awal menjurus kepada tiga aspek merangkumi kecuaian manusia, isu-isu teknikal dan aspek persekitaran.
Katanya, kesemua aspek tersebut akan diteliti dan diperhalusi sebaiknya demi memberikan keadilan kepada semua.
“Pemilik syarikat tersebut dipanggil untuk kita mendapatkan maklumat tambahan yang boleh menjurus ke arah siasatan dan dia memberi kerjasama baik kepada pihak polis,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.
“Setakat ini tiada pihak yang tampil bersama dashcam. Saya menyeru orang ramai untuk majukan kepada kita rakaman tersebut kerana ia merupakan keterangan matan yang boleh dikemukakan di mahkamah.
“Sesiapa yang mempunyai rakaman sebelum, semasa atau selepas kejadian boleh salurkan kepada pihak polis dan identiti sumber akan dirahsiakan,” katanya.
Terdahulu, Bakri mengiringi pemandu lori, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, yang dituduh di Mahkamah Majistret Teluk Intan dengan sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU, Selasa lalu. – UTUSAN