13 lelaki ditahan, sindiket curi pasir tumpas dengan rampasan RM2.83 juta

13 lelaki ditahan, sindiket curi pasir tumpas dengan rampasan RM2.83 juta

PGA bersama Pejabat Tanah dan Galian Kedah berjaya menumpaskan sindiket perlombongan pasir haram yang diekstrak dari sungai di tiga lokasi di Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sindiket perlombongan pasir haram yang beroperasi di beberapa lokasi sekitar Kedah akhirnya tumpas selepas serbuan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta bersama Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah, semalam.

Dalam tiga operasi berasingan di Kulim, Kuala Muda dan Bukit Selambau, seramai 13 lelaki tempatan berusia 20 hingga 70 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan memproses pasir secara haram dari sungai ditahan.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM2.83 juta dan kesemua tangkapan dibebaskan selepas diambil keterangan.

Antara yang dirampas adalah empat jengkaut, enam lori, masing-masing sebuah jentolak dan traktor serta dua rumah penyedut pasir lengkap dengan enjin dan pelbagai peralatan lain yang digunakan untuk aktiviti itu.

“Hasil siasatan awal mendapati kegiatan ini telah beroperasi sejak setahun yang lalu dan pasir yang diekstrak dijual ke pasaran tempatan pada harga sekitar RM400 satu lori. Ketiga-tiga lokasi itu didalangi pihak berbeza.

“Semakan lanjut mendapati pemilik tapak ini tidak mempunyai sebarang permit atau lesen sah daripada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah untuk mengekstrak pasir dari sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Shahrum, tindakan tegas diambil selepas pihak risikan berjaya mengesan kegiatan tersebut yang memperdaya kerajaan negeri demi mengaut keuntungan haram.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 426, Kanun Tanah Negara 1965 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Dalam masa sama, Briged Utara PGA kini giat melaksanakan pengawasan dan rondaan di sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah bagi mengekang sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

“Masyarakat juga diseru untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN