IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan kepada 115 warga pendidik negeri ini untuk membaca khutbah Jumaat di masjid-masjid sempena sambutan Hari Guru esok.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini berkata, ia merupakan pengiktirafan terhadap peranan penting golongan pendidik dan guru.
“Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri telah memperakukan nama 115 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di negeri Perak untuk diangkat sembah kepada Sultan Perak, bagi mendapat perkenan baginda dibenarkan berperanan sebagai khatib jemputan membaca Khutbah Jumaat di masjid-masjid di negeri Perak.
“Mengiktiraf peranan penting pendidik dan guru, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memperkenankan 115 orang pendidikan guru di negeri Perak untuk menyempurnakan peranan sebagai khatib jemputan pada 16 Mei 2025, di 115 buah masjid di negeri Perak.
“Bersempena sambutan Hari Guru, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyediakan Khutbah Jumaat pada 16 Mei 2025, bertajuk ‘Guru Rabbani: Membangun Kemuliaan Insan’,” katanya dalam kenyataan di sini.
Minggu lepas, Sultan Nazrin memperkenankan golongan belia menyampaikan khutbah Jumaat di masjid seluruh negeri bersempena sambutan Hari Belia Negara. – UTUSAN