11 ahli Geng Apan Sungai Petani mengaku salah curi kabel 

11 ahli Geng Apan Sungai Petani mengaku salah curi kabel 

SERAMAI 12 ahli Geng Apan Sungai Petani yang dituduh mencuri kabel dibawa ke Mahkamah Majistret Marang, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Seramai 11 ahli Geng Apan Sungai Petani mengaku salah mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mereka yang berusia 22 tahun hingga 44 tahun membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Noryusriza Zulkifli. Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Hafizal  Ab Hashim, 40, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan. 

Majistret menetapkan seorang daripada 11 tertuduh iaitu Mohd. Shafik Jamaludin, 30, dipenjara empat bulan, denda RM2,000 dan satu sebatan. Seramai 10 tertuduh lagi didenda RM3,000 atau empat bulan penjara.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa  bersama-sama mencuri 208 batang wayar kabel dan lima gulung kabel berwarna hitam yang di dalamnya mengandungi logam disyaki jenis tembaga milik sebuah syarikat telekomunikasi.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan Kampung Sungai Kerak di sini, pukul 5.30 pagi  pada 8 Mei lalu. Bagi kesalahan itu, mereka yang didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca Seksyen 34 kanun yang sama berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 26 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan Hafizal diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN