SEREMBAN: Seramai 10 lelaki berusia 17 hingga 31 tahun berjaya ditangkap susulan kes tular seorang pelajar sekolah berusia 17 tahun dipukul beramai – ramai di beberapa lokasi di daerah ini, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kesemua suspek berkenaan ditangkap hari ini dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi siasatan.
Menurutnya, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian rusuhan yang berlaku pada 9 mei 2025 sekitar kira-kira 3 pagi di kawasan berhampiran kedai makan dan gelanggang futsal Kampung Sentosa Jaya.
“Aduan dibuat oleh seorang lelaki yang merupakan bapa kepada mangsa. Mangsa telah dipukul secara beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki. Mangsa mengalami kecederaan lebam di bahagian mata kiri dan sakit di seluruh badan.
“Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada selisih faham, di mana suspek utama kes ini dipercayai bertindak menyerang mangsa kerana menyangkakan mangsa telah mencederakan adiknya,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Mohamad Hatta lagi, pihak polis memandang serius sebarang bentuk keganasan dan tidak akan berkompromi bagi menegakkan keadilan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak benar dan polis juga memohon saksi awam yang melihat kejadian tersebut agar tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan
“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN