KUALA LUMPUR: Ibu negara tidak seharusnya hanya dikenali dengan bangunan ‘pencakar langit’ dan berteknologi tinggi sebaliknya juga sebagai sebuah kota yang terus mempertahankan sejarah, budaya dan warisan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu, Projek Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia Madani menekankan aspek warisan dan kepelbagaian Malaysia supaya ia menjadi identiti dan memaparkan keunikan Kuala Lumpur.
“Satu kota itu harus hidup segar dengan fizikal yang menarik dan menawan, sesuai dengan perkembangan teknologi tetapi ia juga harus mengakar kepada tradisi dan budaya.
“Memang kita tidak akan maju kalau kita tidak menggapai langit, teknologi baharu digital, kecerdasan buatan (AI), bicara mengenai transisi tenaga harus dan wajib kita segerakan tetapi menggapai langit itu harus mengakar ke bumi, ertinya faham sejarah, budaya dan nilai akhlak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Projek Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia Madani di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini
Yang hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Sebagai rekod, Projek Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia Madani merupakan inisiatif strategik untuk mentransformasikan kawasan bersejarah yang tertumpu di Pusat Bandar Kuala Lumpur sebagai zon budaya dan kreatif.
Ia berpandukan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 dan membawa pendekatan pembangunan bandar yang berasaskan budaya.
Melalui pelaksanaan 10 projek perintis andalan, projek berkenaan berhasrat menjadikan Kuala Lumpur sebuah kota kreatif bertaraf global yang inklusif saling terhubung dan mencerminkan identiti Malaysia.
Sehubungan itu, Anwar meminta pihak yang terlibat di dalam projek membugar semula Kuala Lumpur itu untuk menyegerakan pelaksanaannya.
Selain itu, katanya, projek tersebut turut perlu menyasarkan kemudahan 80 peratus untuk rakyat terbanyak selain dilengkapi dengan pembaharuan dan pembangunan moden.
“Warisan ini mesti memberi keselesaan kepada rakyat dengan dilengkapi warung, restoran, perumahan, tempat permainan kanak-kanak, kemudahan perpustakaan, gedung sejarah yang boleh dikaji dan digali.
“Perancangan perlu secara langsung dan tuntas kepada negara moden tetapi tidak boleh meminggirkan rakyat,” katanya. – UTUSAN