Warga Nigeria tidak mengaku gigit telinga polis hingga putus

Warga Nigeria tidak mengaku gigit telinga polis hingga putus

SEORANG lelaki warga Nigeria yang menggigit telinga kiri seorang anggota polis sehingga putus sebahagian ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di sini hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya faham tetapi ia tidak disengajakan.”

Itu kenyataan yang dibuat oleh seorang warga Nigeria yang sebelum ini tular menggigit telinga seorang anggota polis sehingga putus sebahagian daripadanya, Jumaat lalu.

Tertuduh, Okenyehike Kelvin Obianke, 38, yang sedang melanjutkan pengajiannya di salah sebuah institut pengajian tinggi swasta di sini berkata demikian sebelum mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di bahagian telinga kiri mangsa, Koperal Danierul Azraq Ahmad Khair, 36, di depan sebuah klinik dekat Metro Prima, dekat Sentul pada pukul 10.10 pagi, 25 April lalu. 

Perbuatan itu dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Mohamad Poad tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh merupakan seorang warga asing yang turut menghadapi pertuduhan masuk ke Malaysia tanpa dokumen yang sah di Mahkamah Majistret berasingan. 

Majistret, M. Mageswary tidak menetapkan sebarang jaminan dan menetapkan 10 Jun ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sementara itu, di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, lelaki berkenaan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah di tempat, tarikh dan masa yang sama. 

Obianke didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis Benzo (Nimetazepam) ke dalam badan sendiri di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada pukul 3 pagi, tarikh sama. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana sekiranya dia disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Bagi kes membabitkan pertuduhan imigresen dan dadah, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa raya, Nurainizatul Farhana Zainal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 Julai depan bagi sebutan semula kes. 

Media sebelum ini melaporkan seorang anggota polis berpangkat koperal putus sebahagian telinga kiri selepas digigit seorang lelaki warga Nigeria yang bertindak agresif ketika cuba ditahan di sebuah klinik swasta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya