Video ‘abang belon’: Polis siasat Ratu Naga jika ada laporan

Video ‘abang belon’: Polis siasat Ratu Naga jika ada laporan

DATUK RUSDI MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak akan melakukan siasatan terhadap pemilik akaun media sosial ‘Ratu Naga’ yang dipercayai menyebarkan rakaman video kejadian pergelutan antara peniaga belon dan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, bulan lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, siasatan akan dijalankan sekiranya terdapat laporan dibuat ke atas pemilik akaun media sosial berkenaan.

“Ya, jika dia (Ratu Naga) yang buat hantaran itu dan ada laporan terhadapnya, kenapa tidak (menyiasat).

“Namun kami perlu membuat semakan terlebih dahulu sama ada dakwaan memulakan hantaran sehingga tular sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Rusdi berkata, mana-mana individu yang membuat hantaran tidak benar, jelik atau sebagainya adalah satu kesalahan dan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang maklumat di media sosial jika tidak pasti.

Ditanya mengenai perkembangan kertas siasatan kes itu yang sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), beliau berkata, pihaknya masih menunggu arahan lanjut pihak terbabit.

Selain itu, katanya, polis juga masih menunggu laporan perubatan penjaja belon dan ia akan mengambil sedikit masa kerana mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tertentu sebelum diserahkan.

Sebelum ini, tular video pergelutan antara penjaja belon dan anggota penguatkuasa itu di media sosial sehingga mendapat pelbagai reaksi orang ramai.

Peniaga belon berkenaan Muhammad Za’immudin Azlan, 28, menerima rawatan di hospital awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN