UUM bantu urusan pengebumian penuntut maut dirempuh bas

UUM bantu urusan pengebumian penuntut maut dirempuh bas

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dukacita dengan pemergian penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) yang meninggal dunia akibat kemalangan di dalam kampus universiti itu, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, yang terlibat kemalangan dua bas di Jalan Persiaran Perdana, UUM.

“KPT menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan ini dan mendoakan agar keluarga diberikan ketabahan menghadapi dugaan ini. Semoga roh Almarhumah ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebooknya, hari ini.

Sementara itu, UUM akan menghulurkan segala bantuan dan sumbangan termasuk menguruskan jenazah Manarina Hasya yang dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chemplak di Labis, Johor.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, jenazah Allahyarham Manarina menjalani proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini pada pagi ini.

“UUM akan bantu uruskan jenazah termasuk penghantaran jenazah menggunakan van jenazah UUM untuk proses pengebumian,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB.

Empat bantuan UUM antaranya pampasan insurans pelajar sebanyak RM30,000 (maksimum); bantuan khairat kematian pelajar RM1,500; sumbangan kematian Yayasan Perkasa Siswa RM2,000 serta bantuan urusan penghantaran jenazah ke rumah waris.

Berhubung insiden itu, kata Mohd. Foad, UUM menyerahkan segala siasatan kepada pihak polis dan setakat ini pihaknya belum menerima laporan lengkap.

Semalam, akhbar ini melaporkan seorang penuntut UUM maut selepas dilanggar sebuah bas dalam kejadian di hadapan perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana, Kampus UUM di Sintok kira-kira pukul 8.45 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada badan sebelum meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HSB, di sini pada pukul 6.30 petang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN