KUALA LUMPUR: Penyanyi, Mimy Fly, 38, mengakui gembira apabila dua buah lagunya, Angkat dan Serumpun berjaya menawan jutaan hati pendengar muzik tanah air.
Menurut Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, berikutan kejayaan itu, jadual seninya juga semakin padat sekurang-kurangnya sehingga Jun depan.
Katanya, undangan persembahan hampir setiap hari membuatkan dirinya kurang rehat sehingga memberi kesan kepada kesihatannya.
“Akibat memakan makanan yang terlalu berasid, ‘stress’ dan tidak cukup tidur, saya berhadapan dengan ‘acid reflux’, ia seperti gastrik. Sekarang ini ada lebih dari lapan ulser di tekak saya.
“Saya tak sempat rehat sebab saya banyak ‘show’. Takkan saya mahu ‘complain’, tapi jujurnya saya tidak ‘stop’ sejak lagu Angkat keluar iaitu Januari lalu. Setiap hari ada ‘show’, macam hari ini ada empat.
“Jadi di setiap undangan saya terpaksa minta maaf siap-siap tapi keadaan hari ini bertambah baik dari semalam,” katanya.
Kongsi Mimi, selepas bertahun-tahun, ini adalah kali pertama dia menerima undangan persembahan tanpa putus.
“Undangan yang saya terima ini mengalahkan ketika bersama One Nation Emcees. Kumpulan One Nation Emcees pernah menerima sambutan sebegini ketika lagu Anak Kampung, tapi itu bersama One Nation Emcees dan sekarang saya seorang.
“Saya rasa ini semua rezeki, saya tak mahu merungut sebab ini semua saya yang minta. Tidaklah saya mahu cakap saya penat sebab saya suka ‘perform’, dan ‘performing’ adalah suatu yang saya rindukan sepanjang empat tahun saya menyepi.
“Inilah benda yang saya rindukan jadi bila dapat buat, saya seronok. Hari-hari pun saya sanggup, tapi ini pula yang saya dapat, tapi dalam perjalanan ini saya belajar,” katanya.
Muzik video lagu Serumpun ciptaan Mimifly dan Cuurley itu sudah mencecah 8.4 juta tontonan sejak dimuat naik pada 19 Mac lalu. – UTUSAN