PETALING JAYA: Umat Islam di negara ini perlu nekad dalam melakukan pembaharuan bagi mendepani cabaran semasa yang semakin rumit sama ada dalam atau luar negara.
Perdana Menteri. Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan perlu dibina dengan meliputi keseluruhan aspek untuk mendepani cabaran tersebut.
“Umat meletakkan pengharapan yang tinggi untuk kita melakukan pembaharuan dalam berdepan cabaran semasa yang semakin rumit dan rencam sama ada di dalam atau luar negara.
“Makanya kita perlu membina kekuatan dalaman, bukan sekadar kekuatan akidah dan akhlak, bahkan daya tahan dalam pengurusan ekonomi dan tatakelola kerajaan di semua bidang,” katanya dalam di Facebooknya hari ini.
Menurut Anwar, umat Islam juga perlu mencabar minda melalui tafaqquh fiddin (mendalami ilmu) yang segar bagi menghadapi kondisi ‘malaise’ iaitu keletihan jiwa dengan menuntut jawapan berasaskan kekuatan ilmu dan keutuhan nilai.
“Tantangan kita adalah sejauh mana umat mampu membina kekuatan berasaskan ‘Din’ (agama) kepada Madinah (kota) dan seterusnya tamadun dalam membangun negara Madani,” jelasnya.
“Insya-Allah, kita akan terus berusaha dan berikhtiar memperkukuh tafaqquh fiddin dan penguasaan pelbagai bidang agar hasrat membangun umat dan negara dapat dicapai di atas landasan prinsip luhur dan akhlak yang benar,” jelasnya. – UTUSAN