GOMBAK: Universiti Islam Malaysia (UIAM) dinobatkan pada kedudukan ranking pertama bagi kategori Universiti/Kolej Islam Terbaik Dunia bagi tahun 2024.
Pencapaian itu adalah lebih baik berbanding tahun 2023 yang berada di tempat kedua yang diumumkan melalui portal UniRank baru-baru ini.
UniRank adalah organisasi penarafan universiti terkemuka, telah mengeluarkan Ranking Universiti Islam Terbaik Dunia 2024 yang mengiktiraf institusi pengajian tinggi Islam terbaik di seluruh dunia.
Menurut UIAM, penarafan Universiti Islam Terbaik Dunia 2024 ini mencerminkan kualiti pendidikan tinggi dalam institusi-institusi Islam, yang terus komited dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan kompeten di pelbagai bidang.
“Selain itu, senarai ini memberi panduan kepada pelajar yang mencari universiti yang memenuhi standard akademik yang tinggi dan relevan dengan keperluan industri global.
“Penarafan ini berdasarkan beberapa kriteria pemilihan yang ketat, termasuk institusi yang diiktiraf atau dilesenkan oleh badan yang berkenaan dalam negara masing-masing.
“Ini termasuk menawarkan program ijazah sarjana muda sekurang-kurangnya tiga tahun atau program pascasiswazah seperti ijazah sarjana atau kedoktoran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, katanya, penarafan itu dinilai kepada universiti-universiti yang menyediakan kursus secara tradisional dalam format pembelajaran bersemuka, bukan melalui pendidikan jarak jauh.
Dalam perkembangan berlainan, UIAM turut merekodkan kecemerlangan apabila mendapat peniktirafan enam bintang dalam senarai Universiti Pilihan Majikan Talentbank 2025 oleh Talentbank Graduate Employability (GE) Index yang berlangsung baru-baru ini.
UIAM juga dianugerahkan penarafan enam bintang bagi sembilan program akademik, iaitu Ekonomi, Kewangan, Pengurusan Hospitaliti, Undang-Undang, Kejururawatan, Farmasi, Psikologi, Ukur Bahan dan Pelancongan.
“Pengiktirafan luar biasa ini mencerminkan keyakinan tinggi serta persepsi positif yang diberikan para majikan di Malaysia terhadap graduan UIAM, khususnya dalam sembilan bidang pengajian tersebut.
“Pengiktirafan tersebut menandakan kepercayaan tinggi majikan terhadap kualiti dan kebolehpasaran graduan UIAM,” katanya.
TalentBank merupakan syarikat yang bergiat aktif dalam inisiatif pembangunan bakat dan tenaga kerja di Malaysia mengumumkan Senarai Universiti Pilihan Majikan 2025, menampilkan lulusan universiti yang paling mendapat permintaan tinggi majikan di seluruh negara.
Maklumat berkenaan diperoleh daripada Indeks Kebolehpasaran Siswazah Kebangsaan Talentbank, menggunakan metodologi tiga peringkat iaitu mengenal pasti universiti yang menjadi sasaran majikan, mengukur jumlah pengambilan dan mengenal pasti pengambilan semula berdasarkan prestasi lulusan.
Menurut Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, penarafan enam bintang ini merupakan bukti komitmen UIAM terhadap kecemerlangan akademik, kebolehpasaran graduan dan kerelevanan dengan industri terutama pemilihan pekerja oleh majikan.
“Semoga kejayaan ini terus mengukuhkan reputasi UIAM sebagai institusi yang dipercayai dan berwibawa dalam melahirkan graduan yang berkualiti, kompeten dan berdaya saing di pasaran kerja”, katanya. – UTUSAN