PETALING JAYA: Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan melawat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights di sini, bagi melawat mangsa tragedi kebakaran letupan paip gas, hari ini.
Keberangkatan tiba Tunku Puteri Intan Safinaz diiringi isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad.
Tunku Puteri Intan Safinaz yang juga Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) turut mengagihkan barangan bantuan asas termasuk pek makanan, kit kebersihan diri termasuk tikar dan selimut.
Selain itu, BSMM juga memberikan pemeriksaan kesihatan asas kepada golongan rentan terutamanya warga emas dan kanak-kanak manakala bantuan sokongan psikososial disediakan kepada individu yang mengalami tekanan emosi.
Terdahulu, tragedi kebakaran letupan paip gas berlaku di Putra Heights berlaku pada hari kedua Hari Raya Aidilfitri menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke PPS. – UTUSAN