PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menuntut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan yang mengaitkan beliau dengan isu pemulangan aset parti.
Peguam Dr. Mahathir, Rafique Rashid Ali dilaporkan berkata, satu notis tuntutan telah dihantar kepada Mohd. Puad susulan kenyataan yang dibuat pada Sabtu lalu.
Menurutnya, tindakan Mohd. Puad memadam kenyataan berkenaan tanpa sebarang penjelasan atau permohonan maaf tidak boleh dianggap selesai begitu sahaja.
“Dr. Mahathir menuntut supaya Mohd. Puad mengadakan sidang akhbar terbuka di Bangunan UMNO bagi menarik balik kenyataan tersebut serta menyatakan secara jelas bahawa tuduhan terhadapnya tidak berasas dan merupakan satu fitnah,” katanya.
Dalam notis sama, Dr. Mahathir turut difahamkan menuntut permohonan maaf secara bertulis tanpa syarat serta satu aku janji bahawa Mohd. Puad tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut yang boleh menjejaskan reputasi dan integritinya.
Pada masa sama, Dr. Mahathir turut menjelaskan, beliau telah menyerahkan semula hak pemegang amanah ke atas sebidang tanah seluas 9,723 meter persegi di Kuala Lumpur kepada UMNO pada 2015.
Jelasnya, tindakan undang-undang yang difailkan UMNO untuk mendapatkan perisytiharan mahkamah bagi memindahkan hak milik tanah itu tidak melibatkan dirinya. – UTUSAN