KUANTAN: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad didakwa enggan melepaskan pegangan dalam hak pemilikan geran tanah milik UMNO di Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, walaupun surat guaman parti sudah diserahkan kepada Dr. Mahathir, beliau enggan menandatanganinya.
“Jadi dalam keadaan sedemikian, saya ambil contoh secara spesifik, Hotel Seri Pacific adalah kepunyaan UMNO Link Companies (ULC). Hanya beliau seorang yang tidak menandatangani untuk melepaskan tanggungjawab sebagai pemegang amanah, yang lain lain telah bagi kerjasama.
“Telah ada surat daripada firma guaman untuk beliau melepaskannya tetapi sehingga sekarang beliau enggan menandatangani dokumen berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Akademi Rel Pahang (ARP) di Dewan Yayasan Pahang, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan UMNO memfailkan saman pemula pada 6 Mac lalu bagi mendapatkan pengishtiharan supaya sebidang tanah di ibu kota berkeluasan 9,723 meter persegi dipindah milik kepada parti berkenaan.
Dalam saman itu, UMNO memohon satu perintah bahawa pemilik geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur yang didaftarkan atas nama pemegang-pemegang amanah iaitu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam, Mahathir dan Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid dipindahkan kepada UMNO mengikut Fasal 27.1 Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.
Mahkamah menetapkan 2 Mei ini untuk pengurusan kes selanjutnya.
Ahmad Zahid berkata, dalam isu berkenaan, terdapat sebuah aset yang mana pemegang amanahnya telah menandatangani pindah milik setelah diberikan tanggungjawab untuk memegang amanah buat seketika ketika masih mempunyai jawatan dalam parti.
“Tetapi apabila seseorang itu tidak lagi mempunyai tanggungjawab kepada parti dan tidak lagi menganggotainya, ia harus dilepaskan,” katanya.
Berhubung nilai aset dituntut berkenaan, beliau berkata, ia berjumlah ratusan juta ringgit.
“Perkara ini bukan baharu, tetapi sudah lama. Hari ini baru orang bertanya, saya kena jawab, sebelum ini tiada yang bertanya,” katanya. – UTUSAN