Tun M buka kapsul masa Ahad ini selepas disimpan selama

Tun M buka kapsul masa Ahad ini selepas disimpan selama 28 tahun

ABDUL HAMID SHAIKH Abdul Razak Shaikh (kanan) pada Majlis Penyerahan Kapsul Masa Wawasan 2020 di Menara Kuala Lumpur. - UTUSAN/MUHAMMAD NAIM HELMI HAFIDZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) bakal mencipta sejarah sekali lagi apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijadualkan untuk membuka kapsul masa yang disimpan sejak 1996 di menara ikonik negara itu, Ahad ini.

Majlis bersejarah yang disambut bersempena Hari Raya Aidilfitri bertemakan ‘Raikan Raya Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad’ adalah simbol penghargaan terhadap sumbangan besar negarawan ulung tersebut dalam pembangunan Menara Kuala Lumpur dan negara.

Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh berkata, kapsul masa yang sepatutnya dibuka pada 2020, disimpan dengan penuh amanah selama lebih 28 tahun oleh Ketua Pegawai Operasi MKLSB, Alfandi Abdullah.

“Tun Dr. Mahathir bersetuju untuk hadir dan membuka sendiri kapsul tersebut, satu momen yang sangat bermakna kerana beliau sendiri menyaksikan pembinaan menara ini dari rumahnya di Galeria Perdana menerusi teleskop,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Kapsul Masa Wawasan 2020 di Menara Kuala Lumpur, hari ini.

Kapsul masa itu mengandungi dokumen penting serta simbolik pemikiran Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Dr. Mahathir semasa pentadbiran beliau, dan kini bakal membuka kembali lipatan sejarah kepada generasi muda.

Abdul Hamid turut mengajak bekas pekerja MKLSB dan seluruh rakyat Malaysia bersama-sama hadir pada majlis yang penuh bermakna itu.

“Majlis ini bukan hanya untuk meraikan Syawal, tetapi juga untuk menghubungkan generasi kini dengan sejarah pembangunan negara,” ujarnya.

Pembukaan kapsul masa oleh Dr. Mahathir bukan sekadar merungkai sejarah silam, tetapi juga menjadi mercu tanda kesinambungan aspirasi negara menuju masa depan yang lebih gemilang.

Beberapa kapsul masa yang ditanam oleh Dr. Mahathir adalah di:

*Menara Kuala Lumpur (1996)

Kapsul masa ini mengandungi dokumen dan simbolik pemikiran Wawasan 2020. Dijadualkan dibuka pada 2020, namun majlis ditangguhkan dan dibuka pada 13 April 2025.

*Langkawi (1991)

Kapsul masa ini ditanam sempena pembukaan Jambatan Pulau Langkawi. Bertujuan untuk memperingati projek pembangunan dan kemajuan Langkawi.

*Pelbagai lokasi seluruh negara

Kapsul masa turut ditanam di beberapa projek pembangunan lain sebagai simbol aspirasi negara yang dikaitkan dengan visi dan perancangan jangka panjang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya