Tujuh jalan utama ditutup sempena final Piala Malaysia

Tujuh jalan utama ditutup sempena final Piala Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tujuh laluan utama di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur akan ditutup secara berperingkat bermula pukul 2 petang ini sempena perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang, malam ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, penutupan itu bagi memberi laluan kepada kawalan lalu lintas serta keselamatan sepanjang berlangsungnya perlawanan yang dijangka menarik puluhan ribu penyokong ke stadium.

Beliau berkata, seramai 180 pegawai dan anggota trafik yang bertugas seawal pukul 10 pagi ditempatkan bagi mengawal aliran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya di kawasan sekitar stadium.

“Penutupan dan lencongan laluan akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan susur serta persimpangan utama ke SNBJ.

“Antara jalan terlibat ialah susur Lebuhraya Shah Alam (KESAS) ke lampu isyarat SUKOM, lampu isyarat SUKOM ke arah Jalan Merah Cagar, Jalan Barat dari Lebuhraya KESAS, Jalan Barat/Jalan Radin, Jalan Barat/Lebuhraya KESAS, susur ke Jalan Barat dari Bulatan Lumba Kuda dan susur Puchong Link ke Jalan Barat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Mohd. Zamzuri, laluan-laluan terbabit akan dilencongkan ke beberapa arah alternatif termasuk ke Awan Kecil, Awan Besar, Jalan Radin, Sri Petaling, Shah Alam, Kinrara dan Bulatan Lumba Kuda.

“Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda serta arahan petugas di lokasi, selain digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan ke Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di 03-2026 0267/0269,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya