KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-91 di KD Sri Gombak hari ini berlangsung penuh istiadat dan emosi, apabila jasa 10 anggota TLDM yang gugur dalam tragedi helikopter tahun lalu terus dikenang.
Pada 23 April 2024, dua helikopter TLDM, HOM-AW139 dan Fennec, bertembung ketika sesi raptai perbarisan di Pangkalan TLDM Lumut, mengorbankan semua 10 anak kapal.
Dengan tema ‘TLDM Perkasa Kedaulatan Terpelihara’ acara ini mengangkat semangat kesetiaan, kesiapsiagaan dan profesionalisme warga laut negara dalam mempertahankan maritim tanah air.
Jurucakap Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut Kuala Lumpur memaklumkan, istiadat perbarisan melibatkan enam platun dengan 133 pegawai dan anggota lain-lain pangkat.
Perbarisan berkonsepkan statik ini disempurnakan oleh Timbalan Inspektor Jeneral Markas Tentera Laut, Laksamana Pertama Rosli Abd. Ghani yang turut menyampaikan Perutusan Hari TLDM bagi mewakili Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr.) Zulhelmy Ithnain.
Komander Harulizam Haron TLDM bertindak selaku Komander Perbarisan manakala Pegawai Waran I PRL Mohd. Harmizie Mohd. Fawzli memegang tugas Pegawai Waran Perbarisan.
Dalam ucapannya, Rosli mengingatkan warga TLDM agar terus memperkukuh semangat juang, menghayati nilai pengorbanan rakan seperjuangan, serta mengekalkan disiplin dan iltizam tinggi sebagai benteng kedaulatan negara.
Sambutan tahun ini turut diserikan dengan Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat serta Khutbah Khas Jumaat di semua markas dan unit seluruh negara sebagai penghormatan kepada wira-wira laut yang terkorban.
TLDM juga menegaskan komitmennya mempercepatkan pemodenan aset, memperkasa latihan kepakaran dan memperkukuh kerjasama serantau demi maruah perairan negara yang berdaulat. – UTUSAN