BESUT: Anggota polis yang tidak memakai atau menghidupkan kamera badan (BWC) ketika bertugas berdepan tindakan tatatertib kerana penggunaannya bertujuan meningkatkan lagi keupayaan dan integriti pasukan tersebut.
Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Polis, Datuk Seri Sahabudin Abd. Manan berkata, BWC berfungsi untuk menjaga kredibiliti kedua-dua pihak sama ada polis atau orang awam serta boleh dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku pertikaian.
“Rekod rakaman kamera badan boleh dijadikan bukti sah dalam perbicaraan serta prosiding mahkamah.
“Keutamaan penggunaan kamera badan diberikan kepada Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal dan Bahagian Siasatan penguatkuasaan Trafik.” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, di sini, hari ini.
Sahabudin berkata, proses pengagihan 7,648 unit BWC kepada semua Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) di seluruh negara sudah selesai dilaksanakan dan daripada jumlah itu, sebanyak 288 unit diserahkan kepada IPK Terengganu.
“Bagi menampung keperluan, PDRM akan mengemukakan permohonan tambahan sebanyak 10,000 unit BWC melalui Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tahun depan,” katanya. – UTUSAN