PONTIAN: Tiga terselamat termasuk dua penumpang terselamat apabila kereta dinaiki terbalik setelah melanggar pembahagi jalan sebelum terbakar di Jalan Alsagoff berhampiran projek pembesaran jambatan Sungai Pontian Kecil di sini, lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, mereka yeng yang terselamat pemandu kereta Cheng Ching Shiong, 51; anaknya, Cheng Fan Zheng, 16, dan rakannya, Ng Yong Lee, 18.
“Ketiga-tiga mereka berjaya menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan ringan di kaki sebelum kereta Nissan Grand Livina dinaiki mereka terbakar,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah Mohammad Shofee, kesemua mangsa telah mendapat rawatan di klinik berhampiran dan dibenarkan pulang ke rumah.
Sebelum itu, satu video berdurasi 31 saat yang dimuat naik di media sosial (Facebook) pada pukul 2.40 pagi menunjukkan sebuah kereta terbakar dan orang ramai berkejar bagi membantu mangsa yang berada di dalamnya.
Namun pemandu dan dua penumpang di dalamnya berjaya keluar dari kereta sebelum kereta tersebut terbakar.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Jalan Alsagoff, Pegawai Penguat kuasa Ahmad Syahir Din Osman berkata, sebaik Pasukan Keluar Operasi (PKO) tiba didapati memang berlaku kebakaran membabitkan kereta jenis Nissan Grand Livina yang telah terbakar 80 peratus.
Katanya, kebakaran itu berjaya dipadamkan beberapa minit selepas ketibaan pasukan PKO. – UTUSAN