KOTA BHARU: Tiga kanak-kanak antara 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Kemboja yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menerusi operasi selamat dua hari yang berakhir hari ini.
Pengarah JIM negeri Mohamed Yusoff Khan Mohd. Hassan berkata, ketiga-tiga kanak-kanak berusia setahun hingga 12 tahun itu ditahan bersama kedua-dua ibu bapa mereka.
“Selain lima beranak itu, kita turut menahan tujuh lagi individu dalam operasi tersebut yang dilakukan sekitar bandar ini dan Tanah Merah.
“Kesemua warga asing ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamed Yusoff Khan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, JIM Kelantan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak mendalangi, memudah cara dan bersubahat dalam melindungi PATI.-UTUSAN