SEJAK diberi amanah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban bermula pada tahun 2018 hingga kini, A. Kumaresan, 38, sentiasa berpegang kepada prinsip, tiada yang tertinggal di DUN Batu Uban.
Sebelum diangkat menjadi ADUN, Kumaresan yang juga ahli politik daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebenarnya telah lama ‘bergelumang’ dengan masalah rakyat.
Ini kerana, beliau pernah menjadi ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selama empat penggal iaitu dari 2014 hingga 2018 dan kini memegang jawatan Naib Presiden Majlis Pimpinan PKR Negeri Pulau Pinang dan Ketua AMK Cabang Bayan Baru.
Menurut Kumaresan, selama dua penggal berbakti di Batu Uban dengan prinsip tiada yang tertinggal di Batu Uban itu, ia membuatkan beliau sentiasa bersedia untuk terus berkhidmat demi rakyat.

Nama : A. Kumaresan
Usia : 38 tahun
Asal : Batu Gajah, Perak
Pendidikan : Sarjana Muda Pengurusan (Kepujian) USM
Jawatan : ADUN Batu Uban
“Saya telah meletakkan satu matlamat utama iaitu memastikan pembangunan yang bersifat inklusif, menyeluruh dan seimbang di kawasan ini.
“Visi saya jelas, iaitu mahu melihat Batu Uban menjadi kawasan bandar yang maju, selesa didiami dan menawarkan peluang yang adil kepada semua lapisan masyarakat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kumaresan berkata, Batu Uban merupakan kawasan strategik di Timur Laut Pulau Pinang yang merangkumi pelbagai komponen daripada institusi pendidikan seperti Universiti Sains Malaysia (USM), kawasan perumahan kos rendah, taman rekreasi dan pusat perniagaan sehingga ke kawasan bersejarah yang amat penting kepada identiti negeri ini.
“Fokus utama saya sepanjang tempoh perkhidmatan adalah untuk menaik taraf infrastruktur asas seperti jalan raya, laluan pejalan kaki, sistem perparitan serta kemudahan awam yang lain.
“Isu-isu ini bagi saya adalah nadi kepada kesejahteraan rakyat dan perlu diberikan keutamaan dalam agenda pembangunan.

“Maka, untuk itu sejak 2021, saya bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan 29 projek naik taraf yang melibatkan pembaikan jalan, sistem pejalan kaki, penutup longkang dan sistem perparitan. Jumlah keseluruhan peruntukan bagi projek-projek ini mencecah RM11.3 juta,” terangnya.
Beliau berkata, isu tekanan air rendah seperti di Taman Pekaka dan Kampung Desa Baru yang berlarutan sejak 2017 berjaya diselesaikan melalui penggantian paip oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dengan kos sebanyak RM900,000.
“Di samping itu, saya turut memberi tumpuan kepada kemudahan sukan dan riadah bagi manfaat komuniti. Sebuah gelanggang futsal bersaiz FIFA dibina di Flat Hamna, Sungai Dua yang lengkap dengan kemudahan bilik persalinan dan tandas.
“Selain itu, beberapa taman permainan di kawasan perumahan turut dinaik taraf, antaranya di Taman Bukit Jambul, Taman Century, Minden Jalan 15, Lengkok Nipah dan Lorong Relau 1. Semua projek ini dilaksanakan melalui
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) demi keselesaan anak-anak dan keluarga setempat,” katanya.
Tambah Kumaresan, dalam aspek pendidikan pula, beliau menaruh harapan besar untuk melahirkan generasi celik ilmu dan berdaya saing.
“Sebanyak 11 sekolah di Batu Uban menerima peruntukan dan sumbangan untuk program pendidikan serta naik taraf infrastruktur, melibatkan sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.
“Sebanyak lima sekolah kini dilengkapi dengan MakerLab, iaitu makmal inovasi yang memberi ruang meneroka bidang seperti robotik, AI (kecerdasan buatan) dan teknologi maklumat. Sekolah-sekolah ini termasuk SK Minden
Heights, SJKC Shih Chung Cawangan, SMJK Phor Tay, SJKC Min Sin dan SJKT Subramaniya Barathee,” katanya.

Setiap tahun, beliau turut menganjurkan program Back to School yang menyediakan pakaian dan peralatan sekolah kepada anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan yang menjadi antara inisiatif tahunan yang paling mendapat sambutan.
“Kelas tuisyen percuma juga dilaksanakan secara berkala di dewan MPKK Sungai Dua dan Taman Brown.
“Program ini menyasarkan pelajar yang memerlukan bimbingan tambahan untuk terus cemerlang dalam pelajaran mereka,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Kumaresan berkata, dalam usaha merapatkan jurang digital, sebanyak 3,304 premis di Batu Uban kini mempunyai akses kepada jalur lebar tetap melalui pelan JENDELA dan Penang Connectivity Master Plan.
“Selepas saya membangkitkan mengenai isu kelembapan internet dan gangguan perkhidmatan, pihak Telekom Malaysia telah mengambil langkah proaktif iaitu dengan menukar kabel jenis tembaga kepada fiber optik untuk meningkatkan kelajuan dan kestabilan sambungan,” katanya yang memberitahu, dua struktur telekomunikasi baharu juga dibina di Batu Uban ketika ini.
Beliau menambah, dari segi isu perumahan pula, kebanyakan skim perumahan di Batu Uban berusia lebih 30 tahun dan melihat keperluan mendesak untuk memperbaiki lif, tangki air, pagar, dan struktur bangunan.
“Sehingga kini, RM4.7 juta berjaya diperoleh dari kerajaan negeri menerusi Tabung Penyelenggaraan Maksima 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP).
“Sebanyak 22 projek penyelenggaraan siap dilaksanakan manakala 10 lagi masih dalam senarai menunggu dengan anggaran kos RM3 juta. Dalam hal ini, saya akan terus komitedmemperjuangkan permohonan ini,” katanya.
Katanya, Pejabat Pusat Khidmat Batu Uban yang beroperasi pada waktu pejabat dengan pasukan pegawai yang bersedia membantu menyelesaikan isu-isu rakyat juga menjadi saluran utama bagi rakyat untuk mengemukakan aduan serta mendapatkan bantuan. –UTUSAN










